GUNUNG KINABALU_TIMPOHON, SABAH

Setelah tamat Sukan KKM ke 27, Sabah 2012 kami berlima (Dr Muhaida - Pengarah HHT, Hj Zul - Penyelia, En Roslan - Fisioterapi, Sr Zulina dan Saya) bertolak ke Kinabalu Park. Booking telah dibuat Oktober 2011 lg, pakej 3h2m. Kinabalu ni dia lain sikit, ada had jumlah pendaki pada satu-satu hari yang boleh naik.

Keadaan jalanraya dia ok, dari sebesar-besar bulatan hinggalah sekecil-kecil bulatan kita boleh jumpa. Masuk ke pekan Tuaran untuk ke Pasar Tamu, Sr Zulina nak beli baju sejuk. Dan Hj Zul ambil berkesempatan bergambar berlatar belakangkan "Istana Ayam Tua". Hingga le ni masih menjadi tanda tanya kepada mereka yg tidak berpeluang ke sana apakah itu Istana Ayam Tua?. Hanya Dr Muhaida & Hj Zul ada jawapannya..

Rumah Terbalik, Jambatan Tamparuli dan laluan mendaki bermula. Cuaca makin sejuk, keadaan jalan agak sempit. Cerung di kiri kanan jalan dan memerlukan pemanduan yang berhati-hati. Di Bundu Tuhan banyak sayur-sayur segar tersedia untuk dibeli. Akhirnya kami sampai di Kinabalu Park setelah 2 jam perjalanan tadi. Sejuk sangat-sangat, 17C dengan angin bertiup kencang. Dang bercakap dengan pendaki yang dah turun, katanya dia x sampai. Hah!?, kami ketakutan...

Ya Allah, sekali Allah perlihatkan kebesaran kejadiannya kepada kami, bagaikan nak menitis air mata melihat puncak Kinabalu. Solat jamak berjemaah, check in, confirm booking (pas wajib di pakai sepanjang berada di sini), makan malam (gunung 5 bintang kata En Lan), tayangan video dan terus masuk bilik untuk simpan tenaga hari esok...

HARI 1
Jam 0400 dan bangun, nasib ada water heater. Alhamdulillah, cuaca cerah sangat. Sarapan, diperkenalkan dengan guide (Margeret) dan naik bas dalam 10-15 minit ke Timpohon Gate. Lebih kurang jam 0815 bermulalah pendakian setelah pengesahan dibuat. Laluan dia mirip bertangga, x akar yang besar-besar. Tip di sini, x payah nak berkejar kerana mendaki pada altitude sebegini hanya perlu atur langkah, Oksigen nipis dan kita akan cepat terasa letih. Pondok2 rehat disediakan setiap 1km beserta dengan tandas dan tong sampah. Walapun dah diberitahu dan banyak papan tanda melarang membuang sampah merata-mata tapi masih ada yang ingkar. Jadi kepada yang membaca dan bercadang untuk mendaki walau apa gunung sekalipun, tolonglah disiplinkan diri. Bawa turun semula sampah..

Makin tinggi makin kuat/tebal kabus, basah baju seluar. Tip di sini, kepada yang diberikan tenaga olehNya, bantulah kawan yang x bertenaga. Hanya kata-kata semangat dan dorongan kawan-kawan mampu memulih semangat mereka yang keletihan. Kalau sebelum ni hanya tengok dalam tv / gambar sahaja bagaimana portal mengangkut barang-barang, hari ini depan mata. Gagah dia orang...

Setelah bertungkus lumus bertarung, jam 1530-1600 sampailah kami (kumpulan besar) di Laban Rata, En Lan awal lagi sampai. Kami bersyukur kerana duduk di chalet Laban Rata. Bukannya apa, senang nak makan minum dan berurusan. Mahal lah sikit pakej dia.

Ingatkan nak mandi, buka-buka air melompat saya. Sejuk sangat-sangat, x water heater. Di sini kepada mereka yang x tahan sejuk, jangan cuba nak mandi. Ambil jalan selamat, tiru macam kawan saya sorang tu. Jam 1800 makan malam, sekali lagi makanan ala2 hotel 5 bintang tersedia. Berkemungkinan boleh berlaku AMS (acute mountain sickness) di sini; keletihan melampau, hilang selera makan, pening dan berasa nak muntah dan lain-lain simpton. Walauapapun wajib kena isi perut. Sembahyang jamak berjemaah, last check head lamp, bateri spare, glove, penutup kepala, sejadah dan banner. Jam 2100 tutup lampu...

HARI 2
Jam 0100 dah riuh rendah, ikhlas wayak saya x mandi. Tebal mulut masa gosok gigi, sejuk sangat-sangat air dia. Jam 0200 'bersahur' dan mula mendaki summit. Suhu pagi ni 4C. Permulaan dia tangga kayu, kena berhati-hati sebab papannya x lebar dan licin. Tali disediakan sebagai panduan dan untuk berpegang. Ada setengah tempat tu berlereng dan kena jaga langkah. Check point terakhir di Sayap-Sayap, juga tersedia pondok bertandas. Ikutkan cerita guide, mana-mana pendaki yang x lepas sini jam 0500 tidak dibenarkan lagi naik.

Subuh di pertengahan perjalanan. Sejuknya bila sujud hanya Tuhan saja yang tahu. Akhirnya jam 0535 kami diberikan kebenaran olehNYA untuk melihat kekuasaan kejadian ciptaanNYA. Saya menitis air mata sewaktu tiba di papan tanda kemuncak dan terus buat sujud syukur. Sewaktu perjalanan turun kami menanam tekad untuk kembali lagi ke sini melalui Mesilau, laluan yang khabarnya mempunyai ponorama yang menarik dan pertambahan jarak pendakian 2 km. Mohon kepada Mu Ya Allah agar kami diberi kesihatan, kelapangan dan rezeki untuk tahun 2013....aminnn